Adakah pembahagian Harta patut dibincangkan ? Jika ya, bilakah masa yang sesuai untuk membuat perbincangan dan perancangan?
Pengurusan harta dalam agama Islam merupakan satu perkara yang penting kerana setelah Islam memberi keluasan kepada umatnya untuk memiliki harta, maka pasti juga Islam mahu agar harta-harta tersebut ditadbir dengan baik dan sempurna.
Sudah pasti bahawa perancangan pembahagian harta dilakukan semasa pemilik masih hidup. Ini supaya mereka yang telah pergi berada dalam keadaan tenang, manakala waris yang ditinggalkan tidak pula berebut-rebut dan jelas dengan niat arwah yang sudah tiada lagi.
Dalam Islam, terdapat kaedah-kaedah bagi menguruskan harta dan amatlah penting bagi umat-umat Islam untuk mengambil tahu tentang hal-hal yang berkaitan ini.
Secara umumnya, kaedah pengurusan harta yang dianjurkan oleh Islam semasa seseorang masih hidup termasuklah kaedah wasiat dan hibah. Manakala, jika seseorang itu tidak sempat berwasiat atau hibahkan hartanya, maka, harta pusakanya akan dibahagikan kepada waris, sama ada melalui persetujuan semasa waris ataupun menerusi kaedah Faraid.
Apakah itu Wasiat ? Wasiat merupakan hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya, selepas berkalu kematian kelak. Adalah dinasihatkan supaya setiap umat Islam agar menulis atau mendokumentasikan wasiatnya, atas sebab wasiat yang dibuat secara lisan mungkin terdedah kepada fitnah dan tiada buktinya. Wasit secara lisan juga berkemungkinan mencetuskan salah faham, pertikaian dan perbalahan yang tidak diingini selepas pewasiat meninggal dunia.
Wasiat dalam bentuk dokumentasi yang sah amatlah digalakkan untuk memudahkan waris dalam hal dan proses pentadbiran dan pembahagian harta pusaka. Bukan sahaja dapat mempercepatkan proses pentadbiran, ianya juga dapat menyampaikan niat pewasiat dan mengelakkan perebutan harta.

Bagaimana pula dengan kaedah Hibah ? Hibah adalah anugerah, hadiah dan pemberian yang melibatkan satu akad yang mengandungi pemberian hak milik seseorang. Pemberian itu dilakukan semasa kedua-dua pemberi dan penerima masih hidup dan pemberian tersebut dilakukan berdasarkan kasih sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Hakikatnya, Islam menitikberatkan amalan wasiat. Rasulullah SAW telahpun menegaskan kepentingan berwasiat seperti yang berikut:
“Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Fuqaha (ahli-ahli Fiqh) juga menyatakan bahawa Kalimah “tidak sepatutnya” itu dengan jelas menunjukkan bahawa, sangatlah tidak wajar bagi seseorang Muslim membiarkan kematian menjemput tanpa dia terlebih dahulu membuat persiapan.
“Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Kesimpulannya, pembahagian harta sebelum kematian merupakan satu perkara yang amat dititikberatkan dalam agama Islam. Kaedah wasiat dan hibah merupakan kaedah preventif yang amat berkesan untuk memastikan kelestarian ukhuwah sesama ahli keluarga.
“Sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan Islam dan mengikut sunnah. Dia mati dalam keadaan bertakwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Bayangkan mereka yang meninggal dunia tanpa mempedulikan saranan Rasulullah SAW ini. Mudah-mudahan kita semua termasuk dalam kelompok Muslim yang suka berwasiat. Wasiat lah yang menjamin keselamatan kita di sisi ALLAH SWT dan keselamatan waris yang dititipkan harta sebagai pinjaman dan amanah ALLAH SWT di dunia. Ameen…
Terdapat banyak kisah benar yang patut dijadikan iktibar kepada semua:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/08/491176/belasah-adik-kerana-harta
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2015/05/49719/rebut-harta-pusaka
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/05/565318/mama-pesan-jangan-bergaduh-rebut-harta